Kembara LKj
LKj on Mobile ANDROID Software

NAMA PROGRAM KEMBARA LKj TEMA PROGRAM Keluar Mencari, Ilmu Dikongsi PENGENALAN KEMBARA LKj merupakan satu projek sekumpulan kecil guru keluar mencari guru-guru Lukisan Kejuruteraan yang berpengalaman serta guru-guru yang mempunyai kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk dikongsikan ilmu Lukisan Kejuruteraan kepada umum. Satu kumpulan KEMBARA akan dibentuk terdiri daripada 4 orang guru LK akan bergerak bertemu dengan guru-guru berpengalaman ini untuk berkongsi kaedah serta pengalaman mereka. Teknik serta kaedah yang dihasilkan oleh guru-guru ini akan dibentangkan dan dirakam dalam bentuk video. Video rakaman tersebut akan dimuat naik ke laman www.cikguromie.net untuk dikongsi bersama-sama dengan seluruh warga LK di Malaysia. Biasanya guru-guru yang berpengalaman ini akan dipanggil untuk memberi ceramah, bengkel atau seminar, tetapi peserta yang terlibat adalah terhad dan memerlukan belanja yang besar, jadi dengan hanya kumpulan kecil guru Lukisan Kejuruteraan yang pergi bertemu dengan guru-guru ini akan lebih banyak kos yang dapat dijimatkan dan dengan penyebaran video ini akan lebih ramai guru dan pelajar yang akan dapat manafaatnya. Semoga dengan pendedahan teknik serta pengalaman guru-guru ini sedikit sebanyak akan memberi panduan dan petua kepada guru-guru baru seterusnya meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan. RASIONAL Program ini dianjurkan dengan rasionalnya bahawa terdapat ramai guru-guru Lukisan Kejuruteraan yang berpengalaman luas dalam pengajaran dan pembelajaran di serata Malaysia. Adalah lebih baik pengalaman serta ilmu yang mereka ada dapat dikongsi bersama dan didedahkan kepada lebih ramai guru dan pelajar Lukisan Kejuruteraan agar dapat dimanafaatkan bersama OBJEKTIF PROGRAM 1. Mencari dan mendedahkan teknik-teknik serta kaedah pengajaran dan pembelajaran Lukisan Kejuruteraan yang berkesan. 2. Mendapatkan variasi teknik pengajaran dan pembelajaran Lukisan Kejuruteraan 3. Perkongsian pintar bahan-bahan Lukisan Kejuruteraan bersama guru-guru Lukisan Kejuruteraan di seluruh Malaysia. 4. Video yang dihasilkan dapat dijadikan sebagai bahan rujukan tambahan kepada pelajar dan guru Lukisan Kejuruteraan. 5. Berkenalan dan merapatkan ukhwah guru-guru Lukisan Kejuruteraan di serata Malaysia. PELAKSANAAN PROGRAM a - Perancangan Pada peringkat awal kumpulan kembara guru Lukisan Kejuruteraan telah dibentuk. Guru-guru yang terlibat dalam kumpulan ini adalah : 1. En. Romizal Amir Bin Rosdi (SMK Seri Setia, Teluk Intan, Perak) 2. En. Faizul Azri Bin Zainal Abidin (SMK Seri Iskandar, Perak) 3. En. Mohd Saleh Bin Omar ( SMK Sultan Abdullah Chenderong Balai, Perak) 4. En. Hasnizam ( SMK Chenderiang, Tapah, Perak) Setelah kumpulan ini dibentuk, guru-guru berpengalaman akan dikenalpasti dan dicari melalui pengumumun di laman web dan kenalan-kenalan guru-guru Lukisan Kejuruteraan. Antara kriteria-kriteria guru yang dicari adalah : 1. Guru yang berpengalaman luas dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan. 2. Guru Cemerlang Lukisan Kejuruteraan 3. Guru yang berminat berkongsi kaedah pengajaran dan pembelajaran yang mampu membantu pelajar menjawab soalan dengan mudah dan pantas. 4. Guru yang telah menjalankan KAJIAN TINDAKAN dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan dan berminat untuk berkongsi Kajian Tindakan tersebut. 5. Guru yang berjaya meningkatkan pencapaian pelajar dalam Lukisan Kejuruteraan dan berminat berkongsi program dan kaedah yang mampu melonjakkan pencapaian pelajar. Guru-guru yang berminat akan menghubungi ahli kembara dan berbincang tarikh dan masa yang sesuai untuk dilawati dan membuat rakaman. Jadual perjalanan akan dibuat berdasarkan perbincangan bersama b- Pelaksanaan Program 1. Perbincangan bersama guru yang terlibat dengan penetapan tarikh, masa dan tajuk yang akan dibincangkan untuk dirakam. 2. Guru yang terlibat akan bersedia dengan bahan-bahan untuk pembentangan. 3. Ahli Kembara akan membuat persediaan kelengkapan peralatan rakaman. 4. Ahli Kembara akan bergerak ke lokasi yang telah ditetapkan oleh guru pembentang. 5. Perbincangan awal akan dibuat bersama guru pembentang tentang teknik serta kaedah yang akan dibentangkan. 6. Pembentangan boleh dibuat dengan bantuan komputer dan Vcam Image Projector untuk memudahkan proses penerangan kaedah. 7. Pembentangan dilakukan secara santai dan tidak terlalu formal. Ahli kembara boleh bertanyakan soalan untuk menjadikan sesi pembentangan tidak kaku. 8. Jika pembentang tidak mahu merakam sesi pembentangan, pembentang hanya perlu menerangkan kaedah tersebut kepada ahli kembara dan ahli kembara akan merakam kembali kaedah tersebut. 9. Rakaman video dijalankan semasa sesi pembentangan. 10. Hasil rakaman akan disunting dan dimuatnaik ke laman www.cikguromie.net untuk dikongsi bersama

This article comes from Lukisan Kejuruteraan, Engineering Drawing
https://cikguromie.net/xoops

The URL for this story is:
https://cikguromie.net/xoops/modules/content/index.php?id=23